Pelajar luar bandar miliki potensi dalam arena sukan

DARO: Pelajar luar bandar perlu sentiasa didedahkan dengan aktiviti-aktiviti sukan untuk mencungkil bakat mereka.

Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi berkata, pelajar luar bandar juga mempunyai bakat untuk menyinar dan mampu pergi jauh jika diberi peluang.

Justeru, beliau menyambut baik penganjuran Pertandingan Bola Baling Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Daro 2025 yang menjadi platform melatih pelajar supaya berdisiplin, berkeyakinan serta bersemangat tinggi dalam bidang sukan.

“Anak-anak kita di luar bandar juga mempunyai bakat besar untuk diketengahkan.

“Dengan pendedahan dan sokongan berterusan, mereka mampu melangkah jauh,” katanya semasa berucap pada penutupan kejohanan itu semalam.

Bagi memperkukuh pembangunan sukan bola baling di kawasan tersebut, Ahmad Johnie turut mengumumkan sumbangan RM10,000 kepada Program Pembangunan Sukan Bola Baling REMBAT SKUD yang disampaikan kepada Guru Besar SK Ulu Daro.

Sementara itu, Pasukan SK Ulu Daro D muncul juara kategori perempuan, manakala SK Tebaang pula dinobatkan sebagai juara kategori lelaki dalam kejohanan tersebut.