SAMARAHAN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tidak ada mengeluarkan arahan supaya majlis konvokesyen bagi kanak-kanak tadika KEMAS perlu diadakan di hotel.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) juga tidak ada mengeluarkan arahan sedemikian.
“Tidak ada garis panduan, tidak ada arahan konvokesyen ini perlu diadakan di hotel, namun begitu kita ambil maklum perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Mini Karnival Usahawan Desa (KUD), di Halaman Samarahan, di sini, hari ini.
Karnival itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi.
Rubiah mengulas mengenai rungutan ibu bapa di luar bandar mengenai konvokesyen terbabit diadakan di sebuah hotel dalam bandar raya ini di media sosial.
Beliau percaya jawatankuasa pengurusan tadika KEMAS terbabit berniat baik dan mahu memberi pengiktirafan kepada kanak-kanak mereka dengan mengadakan konvokesyen itu di hotel yang cantik.
“Mereka ( jawatankuasa pengurusan tadika dan ibu bapa) dah bermesyuarat dan yang bersetuju (di hotel) lebih ramai, kemungkinan yang tidak bersetuju itu bising lah,” katanya.
