Sarawak meterai MoU dengan Gallois, tubuh kilang pemprosesan grafit di Samalaju

KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui SEDC Energy Sdn Bhd hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bersama Kumpulan Syarikat Gallois yang diwakili Gallois New Energy Materials Malaysia (GNEM).

Perjanjian itu dalam usaha memajukan komponen teknologi kimia untuk pengeluaran hidrogen ke arah perkembangan ekonomi yang mampan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kolaborasi itu akan memperkukuhkan kedudukan Sarawak dalam sektor teknologi dan inovasi global.

Katanya, dengan MoU ini, diharapkan industri pemprosesan grafit dan sektor teknologi kimia Sarawak dapat terus berkembang, memberi manfaat kepada ekonomi negeri dan negara secara keseluruhannya, serta memperkukuh kedudukan Sarawak dalam bidang teknologi dan inovasi.

“Matlamat kita bersama untuk memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan ekonomi Sarawak, dengan menekankan hidrogen sebagai sektor strategik yang penting untuk masa depan kita.

“Kerjasama ini akan lebih meningkatkan keupayaan kita terhadap landskap tenaga yang lebih bersih dan hijau,” ujarnya semasa berucap di majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung Penubuhan Kilang Pemprosesan Grafit di Samalaju, antara SEDC Energy Sdn Bhd dan Gallois New Energy Materials, hari ini.

Tambah Abang Zohari, pembukaan kilang pemprosesan grafit di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu bakal memacu usaha Sarawak sebagai pemain utama dalam industri grafit selain membuka peluang-peluang pekerjaan.

Beliau turut menyaksikan pemeteraian MoU yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif SEDC Energy Sdn Bhd Robert Hardin, Ketua Undang-Undang Wong Lee Kiat, wakil sah bagi Etablissement Gallois S.A (H.K.) Limited Michael Chai Woon Chew dan Pengarah Gallois Jonathan Chai Ming Chen.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Pengerusi SEDC Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain serta tetamu lain.