Universiti Oxford minat kerjasama dengan Sarawak, latih tenaga kerja

KUCHING: Universiti Oxford menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak bagi melatih tenaga kerja dalam bidang tenaga melalui tawaran biasiswa jangka pendek selama tiga bulan.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, biasiswa itu akan ditaja oleh syarikat minyak dan gas utama dunia seperti Shell dan Aramco bagi memberi peluang kepada warga industri tenaga meningkatkan kemahiran mereka.

“Selain tawaran biasiswa, Oxford juga bersedia berbincang dengan kerajaan tentang pelan dan strategi tenaga Sarawak, termasuk perancangan jangka panjang dan dasar berkaitan,” katanya semasa berucap dalam satu majlis anjuran IOT Management Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Dr. Hazland berkata, perkara itu dibincangkan semasa lawatannya ke Institut Tenaga Oxford di United Kingdom (UK) sebelum menghadiri persidangan berkaitan tenaga di Aberdeen, Scotland sebuah bandar yang kini menjadi pusat pembangunan hidrogen di Eropah.

Katanya, Aberdeen sudah lama membangunkan penggunaan tenaga hidrogen, walaupun hanya sebuah bandar kecil.

“Di sana, sudah ada lebih 25 bas, 30 lori dan puluhan kereta yang menggunakan hidrogen, disokong oleh 11 stesen isian semula.

“Scotland mula berubah ke arah tenaga bersih kerana sumber minyak dan gas mereka makin berkurangan. Sarawak juga boleh,” katanya.