SELANGOR: Penjenamaan semula Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu sebagai Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini khususnya dalam memacu sektor pertanian dan tenaga boleh diperbaharui.
Katanya, antara inisiatif yang membuktikan kesungguhan kerjasama strategik antara Kerajaan Sarawak dan UPM Sarawak ialah projek inovasi pertanian mampan dan keselamatan makanan.
“Inisiatif yang membanggakan pelaksanaan projek inovasi inovasi pertanian mampan dan keselamatan makanan yang semakin kritikal di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisytiharan Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) yang berlangsung di Istana Alam Shah, Klang hari ini.
Menurutnya lagi, pengisytiharan UPMS sebagai universiti penuh merupakan pengiktirafan terhadap peranan strategik institusi ini di wilayah Borneo, serta bukti komitmen kerajaan dalam memastikan pendidikan tinggi yang inklusif, seimbang dan berimpak tinggi terus berkembang di Malaysia Timur.
Serentak dengan itu, Abang Johari turut mengumumkan penubuhan Sekolah Veterinar dan Sains Haiwan (SVAS) bersama UPM Sarawak sebagai sebahagian daripada komitmen dalam menyokong agenda keterjaminan makanan negeri.
“Kerajaan Sarawak akan menyalurkan dana berpanjangan bagi memastikan kemampanan SVAS.
“Penubuhan sekolah ini kelak bakal membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pengajian dalam bidang veterinar,” katanya. -UKAS
