LAWAS: Persatuan Tarik Tali Sarawak (PTTS) akan mengadakan kursus pengadil, jurulatih dan teknikal tarik tali pada 11 hingga 13 Julai depan, di Komplek Sukan Lawas di sini.
Presidennya, Steve Lius berkata, kursus itu dianjurkan bersama Persatuan Tarik Tali Kebangsaan dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.
Pendaftaran terbuka sehingga 5 Julai depan dan mereka yang berminat boleh berhubung terus dengan Norsaini di talian 014 5917332 atau Fadzli di talian 019 8348408 untuk maklumat lanjut, katanya ketika ditemui selepas penyerahan surat perlantikan jawatan penasihat kepada Awangku Jinal Abedin Dato Pengira Jawa di Hotel Seri Malaysia di sini baru-baru ini.
Steve Lius memberitahu, mesyuarat jawatankuasa tertinggi PTTS sebulat suara mencadangkan perlantikan Awangku Jinal Abedin yang juga Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak kerana banyak menyokong aktiviti belia di utara Sarawak.
PTTS akan merangka beberapa program dalam memartabatkan sukan tarik tali yang juga merupakan sukan komuniti dan memiliki ramai peminat di negeri ini, katanya.
Malah PTTS akan turut membawa sukan ini ke tahap lebih tinggi dengan teknologi moden dan peraturan yang diiktiraf oleh badan sukan tarik tali antarabangsa untuk mengembangkan bakat atlit sukan tarik tali di Sarawak, tegas beliau.
