DALAT: Usaha pembasmian kemiskinan di kawasan Dalat terus diperkasa melalui penganjuran Bengkel Menangani Isu Kemiskinan yang berlangsung di Kompleks Kebajikan Dalat baru-baru ini.
Bengkel dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah yang juga
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat.
Ia menghimpunkan pelbagai agensi dan pemegang taruh termasuk Pejabat Residen, Pejabat Daerah, Pejabat Pembangunan Negeri (SDO), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Perbandaran Sarikei (MPS), Jabatan Pertanian, CENTEX Dalat, Skuad Sayang, Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA), Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM), Pusat Khidmat ADUN Dalat serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).
Perbincangan dimulakan dengan penelitian kes di Kampung Senau Oya yang merekodkan seramai 75 individu dalam kategori miskin.
Hasil semakan mendapati dua nama dikeluarkan daripada senarai berikutan sudah meninggal dunia, manakala satu kes didapati bertindih apabila suami dan isteri masing-masing mendaftar secara berasingan.
Baki kes seterusnya dirujuk kepada jabatan berkaitan bagi tindakan lanjut termasuk lawatan lapangan, pelaksanaan intervensi serta penyediaan bantuan sokongan bersesuaian mengikut keperluan.
Menurut Fatimah, proses penelitian dan penyelarasan data yang dilaksanakan walaupun mencabar dan mengambil masa, namun membuahkan hasil positif dalam memastikan setiap kes ditangani secara menyeluruh dan tepat sasaran.
