UTS terima dua bas mini sumbangan Kerajaan Sarawak

SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) menerima dua bas mini China Auto Manufacturers (CAM) Co-Star 28 tempat duduk sumbangan Kerajaan Sarawak.

Ia bagi memudahkan urusan pengangkutan pelajarnya.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, sumbangan itu dalam usaha menyediakan kemudahan menyeluruh serta persekitaran pembelajaran kondusif kepada pelajar.

Menurutnya, UTS kini mempunyai lebih 4,000 pelajar yang kebanyakannya menetap di sekitar kampus, sekali gus memerlukan kemudahan pengangkutan yang efisien.

Katanya, inisiatif itu akan membantu meringankan beban kewangan pelajar yang perlu menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk berulang-alik ke situ.

β€œIa juga untuk keselamatan pelajar. UTS komited untuk menyediakan persekitaran yang selamat untuk pelajar belajar,” katanya semasa majlis penyerahan bas mini berkenaan di sini, hari ini.

Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka menjelaskan, meskipun UTS sudah memiliki bas sedia ada, saiz besar kenderaan tersebut menyukarkan pergerakan di laluan sempit berhampiran kawasan kediaman pelajar.

Beliau turut mencadangkan agar pihak pengurusan universiti menyediakan jadual perjalanan yang tetap dan kerap supaya kemudahan itu dapat dimanfaatkan secara optimum oleh pelajar.