WESNA anjur program PENDAYA 12-13 Januari

KUCHING: Wanita Sarawak mempunyai potensi sebagai pemimpin komuniti, penggerak ekonomi dan penjaga warisan budaya apabila diberikan peluang, latihan serta sokongan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, dengan pendedahan sedemikian, wanita Sarawak mampu memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi, sosial dan sebagainya.

Justeru, beliau menyambut baik penganjuran Program PENDAYA yang merupakan salah satu contoh pelaksanaan Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS) yang menjadi platform memperkasa wanita khususnya usahawan wanita Dayak.

Katanya, program seperti PENDAYA dan PERANTIS bukan sekadar latihan, tetapi usaha membina keyakinan, kepimpinan dan keupayaan untuk bergerak seiring dengan perubahan teknologi dan ekonomi baharu.

“Sehingga 2025, program ini telah melaksanakan 100 inisiatif di seluruh negara dengan penglibatan 4,770 peserta wanita daripada pelbagai latar belakang.

“Di Sarawak sahaja, sebanyak 11 program telah dilaksanakan dengan 640 peserta, membuktikan komitmen kerajaan untuk pembangunan kepimpinan wanita secara inklusif dan seimbang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media PENDAYA anjuran Persatuan Rangkaian Pemberdayaan Wanita dan Kelestarian (WESNA) Kuching dan DCCI, di sini hari ini.

Menurut Nancy, PERANTIS merupakan inisiatif kementeriannya melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) untuk membangunkan kepimpinan wanita dalam pelbagai bidang.

Program yang akan diadakan pada 12 dan 13 Januari ini di Dayak Chamber Of Commerce & Industry (DCCI) disesuaikan dengan konteks dan keperluan wanita.