Kejohanan sukan: Asah bakat anak muda tempatan

KUCHING: Liga Kejohanan Bola Sepak Remaja Petronas (PYFCL 2025) menyaksikan pasukan KV Miri Landas Youth Team dinobatkan johan kategori PSK16 di Stadium Sarawak, Petra Jaya di sini, semalam.

Ini diikuti My Team X SMKAI sebagai naib juara, manakala tempat ketiga dimenangi bersama Kelab Pembangunan Bola Sepak SMK Sri Matang dan Sarikei FA.

Bagi kategori PSK14 pula, Cascara Junior muncul juara, Sekolah Sukan Negeri Sarawak (SSN) sebagai naib juara, manakala Mukah FA dan Al Mateem Football Academy berkongsi tempat ketiga.

Majlis Penangguhan dan Penyampaian Hadiah PYFCL 2025 disempurna Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol dan Pengurus Besar PETRONAS Sarawak, Norazibah M Rabu.

Sementara itu, dalam ucapan beliau, Abdullah Saidol berharap penganjuran kejohanan seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dan diperkasakan melalui penambahbaikan kemudahan sukan.

“Ini khususnya di luar bandar dan pedalaman Sarawak supaya lebih ramai bakat muda berpeluang menonjolkan kebolehan di peringkat lebih tinggi, ”tambahnya.