200 jambatan perlu dibaiki

KUCHING: Baram, Kakus, Skrang, Pelagus dan Murum adalah antara kawasan dikenali pasti memerlukan jambatan dan laluan yang dibaiki atau diganti di seluruh negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keseluruhannya Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengenal pasti 200 jambatan dan laluan yang perlu dibaiki.

“Kerajaan mendapati lebih kurang 200 jambatan atau laluan yang perlu dibaiki ataupun bina semula di seluruh negeri,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Jambatan Keluli Bermodular dan Pelancaran Vehicle Yard Pelabuhan Senari kepada Lembaga Pelabuhan Kuching di Pelabuhan Senari di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menegaskan, setakat ini 19 jambatan ditender dan 10 lagi akan ditender dalam masa terdekat.

Projek itu dilaksana di bawah program oleh JKR Sarawak dan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD), jelasnya.

“Selepas mengetuai rombongan mengadakan lawatan kerja dari Miri ke Bario yang mengambil masa 15 jam baru-baru ini, kami melihat sendiri keadaan jambatan di sana yang dibina sementara oleh syarikat balak terdahulu yang kini sudah tidak kukuh dan perlu dibaiki,” katanya.

Kerajaan negeri, katanya, telah membuat keputusan mengambil alih jalan balak untuk ditukar menjadi jalan negeri dan mengambil alih jalan balak aktif.

“Ini adalah cabaran besar dan merupakan aspek penyelenggaraan terakhir yang perlu kita tangani,” katanya.

Pada majlis itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyerahkan dua jambatan keluli bermodular kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Jambatan itu akan diletakkan di Sungai Pelutan, Long Jek dan Sungai Bunau, Jalan Kebangan di Baram.

Manakala ‘Vehicle Yard’ yang dilaksanakan oleh JKR dengan keluasan 14.64 hektar dengan kos pembangunan berjumlah RM70 juta.

Menurut Uggah, inisiatif ini bagi menyokong peningkatan jumlah kapal jenis RoRo dan kargo umum ke Pelabuhan Kuching berikutan kekangan navigasi kapal dengan siapnya Jambatan Sejingkat nanti.