KUCHING: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyerahkan dua unit tambahan Jambatan Keluli Bermodular kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di Pelabuhan Senari, di sini, hari ini.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Koperat NADMA, jambatan terbabit telah diserahkan kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang juga Pengerusi JPBN Sarawak.
“Program ini mencerminkan komitmen berterusan NADMA dalam meningkatkan keupayaan tindak balas bencana, khususnya di kawasan-kawasan yang sering berisiko seperti banjir dan tanah runtuh di Sabah dan Sarawak,” menurut Ketua Pengarah NADMA, Datuk Abdul Halim Hamzah.
Beliau kemudian melakukan simbolik jambatan keluli itu kepada Timbalan Premier Sarawak.
Inisiatif ini dicetuskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) dan NADMA telah mengambil tindakan proaktif dengan melaksanakan perolehan sebanyak tujuh unit jambatan itu.
Pengagihannya melibatkan satu unit di Depoh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bekenu, dan kini dua unit tambahan ditempatkan di sini, satu unit di Kelantan dan tiga unit di Sabah (Putatan, Keningau, dan Kinabatangan).
Sejumlah 150 peserta pelbagai agensi daripada NADMA, JKR Sarawak, JKR Sabah, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan JPBN Sabah dan Sarawak turut menyertai sesi latihan pemasangan, peleraian dan penyimpanan jambatan secara menyeluruh dan komprehensif.
