KUCHING: Sebanyak 30 peratus projek di bawah pelaksanaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah mendahului jadual.
Pengarah JKR Sarawak, Dr. Ir Cassidy Morris berkata, antara projek tersebut termasuk projek pembinaan Lebuh raya Pan Borneo (LPB), projek pembinaan Jambatan Muara Lassa dan Jambatan Marudi serta banyak lagi projek infrastruktur lain.
”Pada pemerhatian saya setakat ini, JKR Sarawak telah menjalankan kerja yang sangat baik dalam melaksanakan projek-projek yang diamanahkan untuk dilaksanakan oleh kita.
”Ini juga merupakan inisiatif
terbaik JKR Sarawak pada ketika ini dalam menilai dan memilih kontraktor-kontraktor,” katanya.
Beliau berkata semasa Program Sepetang Bersama Media, Menyulam Jalinan, Mengukuh Kerjasama di Royal Kuching Cruise, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, JKR Sarawak percaya prestasi sangat baik bagi projek-projek yang dilaksanakan tahun ini akan berterusan pada 2025.
“Saya percaya prestasi ini akan kita teruskan pada 2025 seterusnya bagi memastikan projek-projek di bawah agensi kita (JKR) berjalan lancar,” tambahnya.
Mengulas berkenaan projek persekutuan di bawah RM50 juta, beliau berkata JKR Sarawak juga menunjukkan prestasi baik dari setiap peringkat termasuk peringkat reka bentuk sehingga fizikal.
Mengenai program tersebut, Dr. Cassidy berkata, JKR amat menghargai peranan media untuk membantu menyalurkan maklumat berhubung projek-projek yang dilaksanakan agensi berkenaan.
Katanya, jalinan kukuh antara media dan JKR Sarawak amat perlu untuk memudahkan urusan kedua-dua pihak.
Oleh itu, katanya sesi ramah mesra media perlu diteruskan demi perpaduan bersama.
