Sarawak sasar 100 peratus kanak-kanak ikuti prasekolah

KUCHING: Sarawak mempunyai sebanyak 2,718 tadika dan 242 taska berdaftar sehingga 31 Oktober 2024.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini membabitkan jumlah seramai 73,302 kanak-kanak berumur enam tahun dan ke bawah di tadika dan taska itu.

Katanya, berdasarkan statistik Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) pula, peratusan kanak-kanak Tahun Satu pada 2024 yang menghadiri tadika sebanyak 98.81 peratus berbanding 98.71 peratus (2023).

“Sarawak terus meningkatkan akses kepada pendidikan awal kanak-kanak berkualiti dan menetapkan sasaran 100 peratus kanak-kanak mengikuti prasekolah pada 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Konvokesyen SeDidik Sarawak Zon Kuching dan Samarahan 2024 ,di sini, hari ini.

Fatimah berkata, SeDidik merupakan penyedia pendidikan awal kanak-kanak milik Sarawak akan berusaha membuka taska dan tadika di kawasan memerlukan sama ada di bandar, pinggir bandar, luar bandar dan pedalaman.