37 rumah panjang nikmati bekalan air

BINTULU: Pembinaan stesen pam penggalak, tangka air dan sistem saluran paip di Maskat dekat sini, akan turut memberi faedah kepada 37 rumah panjang membabitkan lebih 3,745 penduduk.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, rumah-rumah panjang terbabit terletak dalam kawasan Parlimen Bintulu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebauh dan Samalaju.

Projek membangun stesen pam penggalak, tangka air dan sistem saluran paip itu berharga hampir RM38 juta dan kini 97.43 peratus siap, katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan bagi meninjau kemajuannya di Maskat dekat sini.

Beliau menegaskan, projek itu kini dalam peringkat ujian dan pentauliahan.

Julaihi berkata, tapak pembinaan stesen pam penggalak dan tangki air di Maskat itu sejauh hampir satu jam perjalanan darat dari sini.

Selain itu, beliau turut meninjau sistem paip yang berkaitan dan secara fizikalnya projek itu siap pada kadar 97.34 peratus dan kini masih di peringkat ujian dan pentauliahan.

Menurut Julaihi, projek terbabit merangkumi pembinaan tangka air baharu berkapasiti 2 juta litre, sistem paip bersaiz 450 mm jenis ductile iron dari loji rawatan air Nyabau ke Simpang Sebauh sejauh 18 kilometer (km).

Projek itu juga turut merangkumi pembinaan stesen pam penggalak, dan pemasangan saluran paip 160 mm HDPE ke rumah-rumah panjang berkenaan, katanya.

Beliau menegaskan, projek bekalan itu adalah sebahagian daripada Sistem Grid Bekalan Air Sarawak yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak dengan menggunakan peruntukan Kerajaan Sarawak sendiri.

Projek itu, katanya, bermatlamt memastikan kestabilan bekalan air serta kualiti air di kawasan berkenaan.

Hadir sama Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, Abang Fadillah Awang Reduan, Timbalan Pengarah JBALB, Ahmad Selihi dan Pegawai Daerah Bintulu.

GAMBAR: Julaihi Narawi