47 permohonan kewarganegaraan masih diproses

KUCHING: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak menerima sebanyak 50 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A, Perlembagaan Persekutuan dari Januari hingga Mac 2024.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, permohonan kewarganegaraan itu melibatkan kanak-kanak dan individu berusia 21 tahun ke bawah.

Sementara, sebanyak tiga atau enam peratus permohonan terbabit sudah mendapat keputusan manakala 47 (94 peratus) permohonan masih diproses.

“Kes-kes yang masih tertunggak akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A, Perlembagaan Persekutuan yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Dayang Noorazah Awang Sohor (GPS-Lingga) di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Fatimah berkata JPN Sarawak juga merekodkan sebanyak 1,403 permohonan itu bagi tempoh tahun 2018 hingga 2023.

Katanya daripada jumlah tersebut, sebanyak 657 (46.8 peratus) permohonan telah mendapat keputusan, manakala 746 (53.2 peratus) permohonan masih diproses.