KUCHING: Mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Almarhum Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang kembali ke rahmatullah 20 Februari lalu, akan tetap dikenang pemimpin dan rakyat Sarawak.
“Segala jasa, perjuangan dan pengorbanan Almarhum akan tetap dikenang oleh setiap pemimpin dan rakyat dalam memacu kemajuan Sarawak ke tahap yang lebih tinggi,”menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Usul Penghargaan kepada mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Almarhum Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, melalui falsafah Politik Pembangunan yang ditekankan oleh Almarhum, keharmonian dan perpaduan kaum merupakan tunjang kepada pembangunan Sarawak.
Kata Almarhum juga sentiasa menggalakkan kerjasama yang erat di antara pelbagai kaum di Sarawak dengan memperkenalkan konsep “Confluence of Rivers” iaitu kesepaduan dalam kepelbagaian identiti ke arah membentuk perpaduan rakyat Sarawak.
Beliau berkata, Almarhum juga amat menitikberatkan pembangunan sosioekonomi rakyat Sarawak dengan merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar
Kataya, ini dengan merangka pelbagai rancangan pembangunan tanah seperti membangunkan tanah NCR bagi tujuan komersial dan pembukaan ladang berskala besar di luar bandar bagi melonjakkan lagi pendapatan penduduk.
Abang Johari berkata, pada tahun 1987, Almarhum telah menubuhkan Kementerian Pembangunan Perindustrian Sarawak bagi menggalakkan pembangunan sektor perindustrian dan beliau telah diberi kepercayaan oleh Almarhum untuk menerajui kementerian tersebut ketika itu.
“Antara projek yang menjadi ‘game changer’ kepada pembangunan perindustrian ketika itu, adalah dengan pembinaan Zon Perindustrian Bebas Samajaya yang mengkhusus kepada industri elektrik dan elektronik,” katanya.
Bagi merancakkan lagi ekonomi Sarawak seiring dengan keperluan global, Almarhum juga telah membangunkan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang mempromosikan pembangunan tenaga boleh baharu (TBB), kata Abang Johari.
“Kini, Sarawak merupakan salah satu pengeluar tenaga hidro terbesar di rantau ini dengan adanya empangan hidroelektrik Batang Ai, Bakun dan Murum,” tambahnya.
Katanya, kini SCORE telah berjaya menarik pelaburan bernilai tinggi sekali gus mewujudkan industri hiliran serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta merancakkan lagi pembangunan sosioekonomi di wilayah tengah Sarawak.
