KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) bersetuju menawarkan penganjuran sejumlah 488 acara untuk temasya SUKMA XXI Sarawak 2024 pada 17 hingga 24 Ogos depan.
Menurut kenyataan media Cawangan Komunikasi Koperat Majlis Sukan Negara, ia diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa itu yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
“Jumlah tawaran acara terbahagi kepada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 acara campuran atau terbuka untuk 37 jenis sukan yang dipertandingkan,” menurut kenyataan itu.
Setiap acara perlu menyaksikan penyertaan minimum atlet daripada enam negeri untuk ianya dipertandingkan.
Selain itu temasya SUKMA edisi Ke-21 kali ini akan dilangsungkan di sembilan Bahagian seluruh Sarawak iaitu Kuching dengan 25 jenis sukan, Samarahan (2), Serian (1), Sri Aman (1), Betong (1), Sibu (3), Mukah (3), Bintulu (3) dan Miri (6).
Penganjur juga mengenalpasti lima Perkampungan Sukan utama bagi menempatkan atlet dari 15 kontinjen bertanding iaitu di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Kota Samarahan, Kolej Laila Taib di Sibu, UiTM Kampus Mukah, UPM Kampus Bintulu dan IKBN Miri.
Di samping itu, Sekretariat Sarawak menetapkan Detik 100 Hari menjelang SUKMA XXI Sarawak 2024 akan dilangsungkan pada 9 Mei ini yang disempurnakan Premier Sarawak.
