Projek sudah siap perlu dinilai, diteliti penggunaan

KUCHING: Projek Rancangan Tempatan Limbang Lawas 2035 bakal mengubah wajah pembangunan di kedua-dua daerah berkenaan.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek diletakkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) itu harus diberikan tumpuan.

Dengan adanya kajian komprehensif mengenai projek ini, katanya ia dapat menjamin kelestarian dan keseimbangan pembangunan di kedua-dua daerah itu dari aspek fizikal dan ekonomi.

“Ini kerana pelbagai projek bakal dan sedang dilaksanakan seperti projek perindustrian, jambatan, lapangan terbang, Projek ‘Sabah-Sarawak Link Road (SSLR)’ dan Lebuhraya Pan Borneo (LPB).

“Projek lain Rancangan Tempatan Bandar raya Miri dan Sibu 2035,” katanya berucap dalam Majlis Apresiasi Warga MUDeNR yang bertemakan ‘Rindoknya Raya’ di Kuching malam tadi.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak turut menggesa supaya projek-projek yang siap dinilai dan diteliti penggunaannya.

Tegasnya, sekiranya projek yang telah siap tidak dapat digunakan atas sebab-sebab tertentu, tindakan segera hendaklah diambil demi manfaat rakyat.

Dalam majlis itu, seramai 10 warga kerja MUDeNR menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2023.

Turut hadir Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh, Setiausaha Tetap MUDeNR Datu Zaidi Mahdi, Timbalan Setiausaha MUDeNR Hairani Mohamad Ismail.