Kemboja, Sarawak terokai kerjasama bangunkan agrikultur

KUCHING: Kemboja ingin menerokai kerjasama erat bersama Sarawak dalam pembangunan sektor agrikultur yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Menurut Menteri Kanan Misi Khas (Hal Ehwal Islam) Kemboja, Neak Oknha Datuk Dr Othsman Hassan, Kemboja kini mempunyai hasil pertanian yang banyak khususnya padi dan kacang gajus, namun berdepan kesukaran untuk memprosesnya.

“Premier Sarawak akan menghantar satu pasukan ke Kemboja bagi mengkaji pembinaan pusat pemprosesan padi kerana Kemboja mempunyai banyak hasil padi yang mana dahulunya dieksport ke Thailand dan Vietnam.

“Sekiranya pusat pemprosesan ini dapat direalisasikan, maka kami boleh meluaskan eksport kami ke negara-negara lain,” katanya semasa sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, hari ini.

Tambah Dr Othsman, negara berkenaan mengeluarkan lebih sejuta tan tanaman kacang gajus, namun menghadapi kesukaran untuk proses pembungkusan.

“Jadi kami meminta pelabur dari Sarawak untuk kita bersama-sama meneroka peluang pelaburan yang ada di Kemboja.

“Memandang kami juga mempunyai pelabuhan di sana (Kemboja), maka kami ingin memohon Sarawak membekalkan minyak dan gas petroleum cecair (LPG),” ujar beliau lagi.