TOKYO: Sarawak menerokai potensi kerjasama mewujudkan hab penyelenggaraan, membaiki dan operasi penerbangan (MRO) berkelas dunia di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mengetuai rombongan ke Jepun sehubungan itu mengadakan sesi libat urus bersama Bahagian Penerbangan Awam Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan (MLIT).
Sesi tersebut berkaitan cadangan pelaburan strategik dalam sektor penerbangan di pejabat MLIT di Tokyo.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) bersama rombongan mengadakan mesyuarat dengan pegawai eksekutif kanan Airport Facilities Co. Ltd, Airport Facilities Asia Pte Ltd dan JALUX Incorporated.
Pada mesyuarat itu, kedua-dua belak pihak bertukar-tukar pandangan berkaitan kebaikan strategik Sarawak untuk pelaburan dalam sektor penerbangan termasuk perkembangan kesalinghubungan udara Sarawak, lokasi di tengah-tengah Asia Tenggara dan sokongan kuat bagi industri bernilai tinggi.
Awang Tengah menegaskan, Kerajaan Sarawak komited mewujudkan persekitaran yang baik bagi pelabur asing melalui insentif yang kompetitif, pembangunan tenaga kerja berkemahiran dan pelaburan infrastruktur strategik.
Sesi libat urus itu adalah sebahagian daripada misi lebih luas Sarawak di Jepun untuk mengukuhkan dagangan, pelaburan dan perkongsian teknologi dalam sektor utama untuk mengukuhkan peranan negeri ini sebagai pintu masuk dinamik ke ASEAN.
Bersama rombongan Sarawak itu ialah Timbalan Menteri MINTRED, Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Setiausaha Kewangan Negeri, Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron, Timbalan Setiausaha Tetap MUT, Syed Mohamad Fauzi Shahab, Pengurus Besar LCDA, Datu Zaidi Mahdi, CEO InvestSarawak, Timothy Ong, Ketua Penasihat SMA, Prof. Jugdutt (Jack) Singh dan Pengarah MIDA Tokyo, Izran Abdullah.
