Sarawak komited capai sasaran TBB

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Sarawak khususnya komited mencapai sasaran tenaga boleh diperbaharui (TBB) selaras dengan komitmen negara terhadap perubahan iklim dan Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, pelaburan strategik Sarawak dalam infrastruktur tenaga boleh diperbaharui, termasuk tenaga hidro, sistem hibrid solar untuk membekal elektrik di luar bandar dan pengeluaran hidrogen hijau sebagai pelan induk pembangunan mampan yang menyeluruh.

Tenaga solar bukan lagi satu pilihan, ia adalah keperluan masa kini, katanya.

“Dengan mengaplikasikannya, Malaysia bukan sahaja membina alam sekitar yang bersih, malah mewujudkan ekonomi lebih kukuh dan berdaya tahan,” katanya semasa merasmikan Minggu Solar Malaysia 2025 di sini hari ini.

Beliau menyarankan kerjasama yang lebih erat antara agensi persekutuan dan negeri serta pelabur swasta.

Selain itu, inovator teknologi untuk mempercepatkan pelaksanaan dan mengintegrasikan tenaga boleh diperbaharui ke dalam grid nasional Malaysia.

Program persidangan itu menampilkan pelbagai aktiviti dinamik termasuk forum panel berprofil tinggi mengenai topik seperti integrasi dan kestabilan grid, strategi pembiayaan dan pelaburan. Ini bagi projek solar berskala besar, teknologi fotovoltik generasi baharu, serta rangka kerja peraturan untuk mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui

Pembentangan teknikal oleh penyedia teknologi solar terkemuka dan kajian kes pemasangan solar yang berjaya di kawasan bandar dan luar bandar turut menjadi sebahagian daripada agenda persidangan itu.

Beliau memuji penganjur kerana menyediakan platform yang menyatukan para pemikir dan pelaksana, sambil menyatakan keyakinan bahawa The Solar Week Malaysia 2025 akan menghasilkan pencapaian nyata dalam memajukan aspirasi tenaga lestari negara.