KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri,Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi berkenan menerima kunjungan hormat daripada Ahli Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan di Astana Negeri Sarawak hari ini.
Kunjungan hormat daripada Ahli Jawatankuasa Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Tahun 2025 ini diketuai Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Menteri bertanggungjawab Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2025, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Delegasi Ahli Jawatankuasa yang turut serta pada kunjungan hormat ini adalah Timbalan-Timbalan Menteri bertanggungjawab Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2025,Timbalan Menteri Perancang Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak ( Hal Ehwal Koporat,Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.
Kunjungan hormat ini untuk memberikan taklimat kepada Tun Dr. Wan Junaidi berhubung sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2025 yang akan diadakan pada 31 Ogos 2025 di Bahagian Sarikei.
Pada kunjungan hormat ini, delegasi sambutan Hari Kebangsaan turut menyampaikan jemputan rasmi kepada TYT Sarawak bagi menyempurnakan pelepasan peserta “Unity Walk” di perkarangan Dewan Suarah, Sarikei dan Perhimpunan Sambutan Hari Perayaan Kebangsaan di Dewan Sentral, Sarikei.
Delegasi ini turut menyerahkan baju tema sambutan Perayaan Hari Kebangsaan iaitu baju Batik Linut kepada Tun Pehin Sri dan Toh Puan Fauziah.
Turut hadir pada kunjungan hormat ini adalah Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datu Felicia Tan Ya Hua; Residen Bahagian Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong; Pengarah UPPAN, Datu Hamdan Sharbini;Timbalan Pengarah UKAS Mohamed Faizal Shah Ali dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak (MSS), Awang Ikman Awang Sepian. – JAPEN
