Projek E-Penambang bantu kurangkan pengeluaran karbon

KUCHING: Sistem pengangkutan sungai Sarawak melalui fasa transformasi apabila melaksanakan Projek E-Penambang, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan terhadap penyahkarbonan, pembangunan ekonomi hijau, dan integrasi bandar pintar.

Projek tersebut merupakan inisiatif penting dalam memperkasakan perahu tambang ikonik – berkuasa
elektrik yang selamat, cekap, rendah karbon, sambil
mengekalkan reka bentuk dan nilai warisan.

Pada malam tadi, prapelancaran Projek E-Penambang dilakukan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi di Pontoon Kampung Sungai Bintangor, di sini.

Hadir sama Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman serta wakil SEB.

Dengan pelaksanaan projek yang merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak itu melakar sejarah baharu dalam pengangkutan sungai mampan.

Sebagai permulaan, sembilan perahu tambang dinaik taraf dengan sistem kenderaan elektrik (EV) bersama sebuah stesen pengecasan solar di jeti tersebut.

Projek ini diterajui Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB), Pusat Kecemerlangan Sarawak (CENTEXS) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Setiap perahu dilengkapi sistem pendorong elektrik 3kW berkuasa bateri litium 3kWh. Konsep E-Penambang mula diperkenal Mei 2023 melalui pembangunan prototaip sepenuhnya oleh Sarawak Energy, diikuti dengan pelaksanaan Proof of Concept (POC) penambang elektrik pertama di Tebingan Sungai Kuching, Oktober 2023.

Bercakap kepada media selepas prapelancaran, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata E-Penambang ialah projek perintis perahu tambang yang digerakkan tenaga elektrik.

Projek sudah bermula tahun lalu setelah mendapat persetujuan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi mengambil bahagian dalam ekonomi hijau dilaksanakan Kerajaan Sarawak, katanya.

“Setakat ini, sembilan perahu tambang bersetuju mengambil bahagian dalam program ini yang telah dipasang peralatannya,” katanya.

Antara pencapaian utama projek ini ialah pembinaan stesen pengecas solar terapung pertama Sarawak di Pontoon Kampung Bintangor, yang mana stesen ini menggunakan sistem PV suria dwimuka berkapasiti 19.84kWp, beroperasi di bawah skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dengan 10 titik pengecasan.

Stesen itu juga berpotensi disepadukan dengan teknologi tenaga boleh diperbaharui lain seperti penyimpanan bateri dan hidrogen.

“Pengecasan sehingga penuh mengambil masa selama tiga jam dan ini mampu bertahan selama tiga hari,” tambahnya.

Dr Abdul Rahman berkata, projek ini juga membantu mengurangkan jejak karbon kerana antara maklumbalas pelancong mengenai perahu tambang terbabit ialah masalah pencemaran iaitu asap dan bunyi bising enjin.

Selain itu katanya, kestabilan iaitu perahu bergoyang serta keselamatan iaitu laluan keluar perahu terhad.

“Satunya (kelebihan E-Penambang) ia senyap, kedua tiada pencemaran dari minyak,” katanya.

Di samping itu, katanya CENTEXS dan UTM sedang mengusahakan satu prototaip baharu untuk baki 12 unit lagi perahu tambang.

Katanya, menerusi prototaip baharu itu menyaksikan dasar perahu lebih lebar bagi kestabilan dan tingkap perahu lebih luas serta diperbuat dari gentian kaca bagi keselamatan penumpang.

Tambahnya, projek itu dijangka siap Oktober depan menjadikan keseluruhannya 21 unit perahu tambang menyertai projek E-Penambang.

Beliau berkata, setakat ini pengecasan perahu tambang di stesen tersebut adalah percuma dan selepas 12 unit lagi perahu beroperasi Oktober depan, kos pengecasan akan dinilai.

Bagaimanapun katanya, kajian awal mendapati kos itu amat rendah dan menjimatkan.