BINTULU: Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) akan menjadi kebanggaan rakyat jika ia kekal bersih, selesa dan selamat, kata Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
LPB yang bersih daripada sampah, selesa untuk perjalanan dan selamat untuk semua pengguna adalah tanggungjawab bersama kerana LPB adalah imej infrastruktur negeri Sarawak, katanya semasa melancar Kempen Kebersihan LPB Sarawak Jum Jaga Pan Borneo Bait-bati di sini hari ini.
Menurut beliau, jalan yang baik sahaja tidak mencukupi, jika LPB tercemar dengan sampah, rosak kerana sikap cuai atau menjadi tidak selamat dan disebabkan pengabaian, hilang makna sebenar kemajuan.
Alexander Nanta menegaskan, Sarawak bertuah kerana LPB dibina dengan dana kerajaan yang bernilai berbilion ringgit dan diberikan kepada rakyat tanpa tol.
“Di Semenanjung, rakyat membayar tol setiap kali menggunakan lebuh raya. Tetapi kita di Sarawak menikmatinya secara percuma. Ini adalah nikmat besar, tetapi tanggungjawab kita lebih besar untuk menjaganya,” katanya.
Kempen ini bukan sekadar slogan, tetapi pesanan ikhlas kepada rakyat bahawa LPB bukan milik kerajaan semata-mata, tetapi milik semua rakyat Sarawak, tegas beliau.
“Kita mesti menjaganya sebaik mungkin. Matlamat utama kempen ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna dan penduduk sekitar jajaran LPB supaya lebih bertanggungjawab menjaga aset negara,” tegas beliau.
LPB Sarawak, tambahnya, bukan sekadar jalan raya. Ia adalah nadi pembangunan, penghubung antara bandar dan pedalaman, penyatu rakyat dari pelbagai kaum, serta landasan utama untuk mengangkat martabat ekonomi negeri.
Dari Telok Melano di hujung selatan hingga ke Miri di utara, LPB membuka pintu baharu untuk perdagangan, pelancongan, dan perhubungan sosial, katanya dan menambah, LPB memberi keselesaan bergerak, mengurangkan masa perjalanan, dan memudahkan rakyat menjalani kehidupan seharian.
