KUCHING: Bintulu dipilih sebagai tuan rumah Sambutan Hari Malaysia 2025 yang akan berlangsung pada 16 September ini.
Tema sambutan ialah ‘Sarawak Maju Makmur Dalam Malaysia’.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2025 Sarawak berkata, program sambutan akan bermula selama dua hari, dengan majlis kesyukuran keagamaan anjuran Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) pada 14 September, diikuti majlis di Masjid Asy-Syakirin pada 15 September.
Kemuncak sambutan akan berlangsung pada malam 16 September di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu dijangka menghimpunkan lebih 10,000 pengunjung dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menurut beliau, sambutan ini bukan sahaja meraikan Hari Malaysia tetapi turut memperlihatkan pencapaian pembangunan Sarawak khususnya Bintulu yang diiktiraf sebagai kluster industri di peringkat antarabangsa termasuk Forum Ekonomi Dunia.
Stephen Rundi menegaskan pembangunan kawasan perindustrian seperti Samalaju, Jepak dan Kidurong serta projek ikonik Jambatan Tun Taib Mahmud yang menghubungkan pusat bandar Bintulu ke Jepak adalah bukti kemajuan pesat negeri Sarawak.
Tambahnya, sambutan itu akan menampilkan pencapaian Sarawak dari aspek infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, bekalan elektrik dan air bersih yang menjadi pilar kejayaan menuju Wawasan Pasca-Covid 2030 sekaligus menjadikan negeri ini negeri berpendapatan tinggi.
Beliau menegaskan, perhatian utama akan tertumpu kepada aspek keselamatan sambutan dengan kerjasama kerajaan Persekutuan bagi memastikan kelancaran penganjuran secara keseluruhan.
Turut hadir ialah Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti; Pengarah Unit Protokol dan Pengurusan Acara Negeri (UPPAN), Datu Hamdan Sharbini dan ketua-ketua Jabatan dari pelbagai Jabatan dan agensi.- JAPEN
