KUCHING: SeDidik akan bekerjasama dengan rakan strategik bagi menjamin kualiti dan kelestarian program SeDidik Centre of Excellence (ScoE) Talent Hub: The Way Forward, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti.
Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, di samping melaksanakan Kurikulum Prasekolah Standard Kebangsaan untuk kanak-kanak Tadika, SeDidik menyediakan program tambahan bagi menambah nilai perkhidmatannya dan meningkatkan pendapatan.
Program Niche iaitu inisiatif pendidikan khusus bertujuan meningkatkan kemahiran dan bidang pengetahuan, dilaksana untuk memenuhi pelbagai keperluan kanak-kanak, katanya semasa merasmikan ScoE Talent Hub: The Way Forward di di Tingkat Satu, Lot 410, 411 dan 414, Seksyen 5, Jalan Kulas di sini.
Fatimah berkata, perkhidmatan Program Niche itu adalah sebahagian daripada komitmen SeDidik menyedia pendidikan awal dan jagaan kanak-kanak berkualit tinggi dan memupuk pembangunan holistik setiap kanak-kanak.
Program Niche yang ditawarkan di ScoE ialah Kinder Music, Kinder Gym, Kinder Martial Art dan Kinder Culture and Arts, katanya.
Hab Bakat SCoE adalah platform direka untuk mengenal pasti dan memupuk minat dan keupayaan kanak-kanak dengan menyediakan peluang kepada mereka membangunkan bakat dalam pelbagai bidang, katanya.
Beliau menambah, hab itu juga fokus kepada Program Melahir Penulis dan Pemidato Muda.
Seramai 113 kanak-kanak terlibat dalam aktiviti SCoE, daripada jumlah itu, 53 dalam Taekwondo, 44 (muzik) dan 16 (gim).
SCoE, katanya, boleh dijadikan pusat untuk melatih kanak-kanak dalam bidang yang mereka minati dan membantu membangunkan bakat dan keupayaan mereka.
