BETONG: Mesyuarat Penyelarasan Skop dan Reka Bentuk Projek Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga membincangkan sebanyak lima projek utama di Pejabat Residen Bahagian Betong, di sini semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor mempengerusikan mesyuarat tersebut yang disertai Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak, Majlis Daerah Betong (MDB) serta agensi berkaitan.
Antara projek utama dibincangkan termasuk pembinaan Pusat Pembangunan Wanita dan Ibu serta Pusat Komuniti JKKK di Kampung Triso yang kini menunggu kelulusan eSPA.
Selain itu, projek Dataran Budaya di Maludam yang dijangka dilaksanakan pada suku keempat 2025, Projek Tebatan Banjir Maludam yang masih di peringkat reka bentuk, manakala Projek Perparitan dan Sistem Saliran dijangka ditender pada suku pertama 2026.
Dayang Noorazah menegaskan projek-projek tersebut akan memberi impak positif kepada masyarakat melalui peningkatan prasarana, pengurangan risiko banjir dan kesejahteraan penduduk.
