KUCHING: Sarawak menyatakan kesediaan untuk menyalurkan bekalan elektrik ke Brunei yang bermula dari Tudan sehingga ke Bandar Seri Begawan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya sudah mengadakan rundingan dengan Brunei berhubung perkara tersebut semasa Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia- Brunei ke-26 (ALC Ke 26) di Putrajaya, pagi tadi.
“Sarawak akan membekalkan elektrik dari Tudan ke Lumut, daripada Lumut ke Seria seterusnya ke Bandar Seri Begawan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas perasmian Persidangan Kursi Sheikh Othman Sarawak 2025 di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, hari ini.
Abang Johari menjelaskan, langkah ini sejajar visi Sarawak untuk menjadi pengeksport tenaga bersih dan mampan kepada negara jiran, selari dengan agenda tenaga lestari.
“Selain itu, projek ini dijangka meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik di kedua-dua negara, membolehkan pelbagai sektor ekonomi beroperasi dengan lebih lancar,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan hasrat membangunkan Trusan di Lawas sebagai pusat pengeluaran elektrik baharu, yang dijangka meningkatkan kapasiti tenaga lestari negeri secara signifikan.
Abang Johari menekankan bahawa Sarawak sudah menghantar elektrik ke Pontianak, Kalimantan Barat di Indonesia dan beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Jakarta bertemu Presiden Indonesia, Prabowo Subianto baru-baru ini.
“Mereka meminta kita berkongsi elektrik di dua kawasan dekat Indonesia dan salah satu di Badau,” katanya.
Beliau menambah bahawa Sabah juga telah memohon bekalan elektrik daripada Sarawak sebelum ini dan boleh menghantar sehingga 100 megawatt dari Lawas ke Sipitang Sabah seterusnya ke Kota Kinabalu.
