KUCHING: Para vendor, kontraktor serta rakan strategik kepada Sarawak Energy diminta mengukuhkan budaya keselamatan dalam operasi masing-masing.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, ini kerana bagi Sarawak Energy, kecemerlangan bukan sekadar tertumpu kepada prestasi operasi, malah merangkumi budaya keselamatan yang kukuh.
“Keselamatan bukan sekadar soal pematuhan kepada peraturan, tetapi mengenai usaha melindungi nyawa, menjaga komuniti dan memelihara alam sekitar demi generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan Sarawak Energy Vendor Excellence Award (SEVEA) 2026 yang disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili, Timbalan Speaker DUN Sarawak merangkap ADUN Muara Tuang, Dato Idris Buang serta tetamu kenamaan lain.
Julaihi berkata, selain itu peningkatan penyertaan vendor tempatan, khususnya syarikat Bumiputera Sarawak dalam pelbagai projek dan operasi, memberi impak positif kepada ekonomi negeri.
Katanya, melalui Program Pembangunan Vendor Sarawak Energy, organisasi besar dapat bekerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana tempatan bagi meningkatkan keupayaan, daya saing dan kemampanan perniagaan mereka.
“Oleh itu, saya berharap hubungan antara Sarawak Energy dan para vendor tempatan akan terus berkembang menjadi perkongsian strategik yang lebih mendalam berasaskan inovasi, pembangunan teknologi dan penambahbaikan berterusan,” tambahnya.
Pada majlis itu, seramai 16 vendor menerima anugerah dan sijil.
