Pembangunan Tanjung Embang tarik minat institusi kewangan, bank

KUCHING: Asian Development Bank (ADB) berminat meneliti peluang kerjasama dengan Sarawak bagi pembangunan kawasan Tanjung Embang di Asajaya.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini khususnya dalam menyediakan sokongan pembiayaan, termasuk pembiayaan hijau bagi Tanjung Embang.

Minat itu katanya, dinyatakan ketika beliau menerima kunjungan pengurusan tertinggi ADB dari Manila, di sini semalam.

“Sebenarnya, bukan sahaja ADB, malah beberapa institusi kewangan lain termasuk Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB) serta bank-bank dari negara lain turut menyatakan minat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sarawak Energy Vendor Excellence Award (SEVEA) 2026 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) di sini, malam tadi.

Abang Johari berkata, mereka yakin hala tuju Sarawak dalam membangunkan sektor tenaga dan ekonomi masa depan yang jelas serta berdaya maju.

Lebih-lebih lagi katanya, Tanjung Embang akan dibangunkan pelabuhan laut dan lapangan terbang sekali gus memperkukuh perkhidmatan logistik serta meningkatkan hubungan dalam rantau ASEAN.

“Selain itu, mereka turut tertarik dengan pembangunan modal insan di Sarawak melalui dasar pendidikan tinggi percuma. Bidang pengajian yang ditawarkan juga disusun mengikut keperluan ekonomi masa depan, termasuk industri semikonduktor,” tambahnya.

Menurutnya, bagi pihak ADB, mereka telah mengenal pasti beberapa projek yang berpotensi untuk dibiayai dengan perincian lanjut akan dibincangkan bersama Sarawak Financial Secretary (SFS) serta pemain industri berkaitan.

“Pembangunan Tanjung Embang bukan dilaksanakan oleh kerajaan semata-mata. Kerajaan akan menyediakan infrastruktur asas, manakala pembangunan sektor industri akan diterajui oleh sektor swasta,” jelasnya.

Beliau berkata pada masa sama, SEB akan membangunkan loji turbin gas di kawasan Tanjung Embang dan meminta menyediakan kapasiti sekurangnya 1 gigawatt melibatkan dua turbin gas berkapasiti 500 megawatt setiap satu yang dikhususkan bagi keperluan industri di Tanjung Embang.