SUF 2.0 platform perkasa pembangunan bandar mampan, pintar dan berdaya tahan

KUCHING: Sarawak Urban Forum 2.0 (SUF 2.0) bakal menjadi platform menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan bagi membincangkan pembangunan bandar mampan, pintar dan berdaya tahan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, program anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) itu akan berlangsung selama empat hari mulai 24 hingga 27 Oktober depan di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), Kuching.

“SUF 2.0 bertemakan ‘Future-Ready Cities: Building Resilient Futures – Collaborate, Adapt, Thrive’ menjadi wadah perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik bagi memperkukuhkan pembangunan bandar inklusif serta bersedia menghadapi cabaran global,” katanya pada sidang media SUF 2.0 di sini, hari ini.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman.

Menurut beliau, forum itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta terdiri daripada pembuat dasar, pakar industri, ahli akademik, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan sektor swasta.

SUF 2.0 turut menampilkan panel dari Semenanjung Malaysia, Sabah, Brunei Darussalam dan Kalimantan Barat, Indonesia bagi memperkukuhkan perkongsian ilmu serta kerjasama serantau.

Antara pengisian utama forum ialah pelancaran Kuching Low Carbon Master Plan yang melibatkan projek strategik seperti Unity Park, Bamboo Garden di Kuching Civic Centre dan Kuching Park Connector.

“Penganjuran SUF 2.0 mencerminkan komitmen berterusan ke arah memperkukuhkan agenda bandar rendah karbon, pemuliharaan alam sekitar serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat bandar,” ulasnya.

Selain itu, kira-kira 20 pempamer daripada pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan sektor swasta akan mengetengahkan inovasi, teknologi serta penyelesaian pintar untuk pembangunan bandar masa hadapan.

Forum itu turut menampilkan Stakeholders Assembly yang melibatkan Majlis Komuniti Kanak-kanak, Majlis Komuniti Belia dan Majlis Komuniti Warga Emas DBKU bagi mendapatkan pandangan masyarakat.

Dr Abdul Rahman berkata, SUF 2.0 turut membuka peluang kepada usahawan sosial mempamerkan produk serta perkhidmatan mereka selain menggalakkan pembangunan ekonomi komuniti dan inovasi sosial.