SIBU: Pemier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, tiba di RH Hotel di sini kira-kira 6 petang tadi bersama konvoi bermotosikal dari Jambatan Batang Lupar sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Peringkat Bahagian Sibu.
Ketibaan beliau menandakan bermulanya program yang berlangsung selama tiga hari bermula esok hingga 12 Julai dengan konsep one stop centre menghimpunkan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan di bawah satu bumbung bagi memudahkan rakyat mendapatkan pelbagai perkhidmatan secara terus.
Sibu merupakan destinasi kelima jelajah SKS 2026 dan dijangka menjadi tumpuan masyarakat dari seluruh Zon Tengah, dengan penyertaan 47 agensi kerajaan yang menyediakan 158 kaunter perkhidmatan di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah permohonan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), bantuan kebajikan, peluang pekerjaan menerusi JobSarawak, saringan kesihatan, khidmat kaunseling serta pelbagai inisiatif Kerajaan Sarawak.
Program itu turut menampilkan Sarawak Pavilion yang mempamerkan pelbagai projek pembangunan negeri, selain Sibu Kitchen & Sale.
Sibu sebagai platform kepada usahawan tempatan memasarkan produk serta mengetengahkan makanan ikonik Bahagian Sibu.
Pelbagai aktiviti menarik turut diatur sepanjang penganjuran SKS Sibu, termasuk Malam Budaya Sarawak pada 10 Julai bakal mengetengahkan kepelbagaian warisan etnik menerusi persembahan artis tempatan.
Kemuncak program ialah majlis perasmian yang akan disempurnakan Abang Johari pada Sabtu ini, sebelum diteruskan dengan Konsert Rakyat pada sebelah malam yang menampilkan barisan penyanyi terkenal dari Sarawak dan tanah air.
Turut mengiringi Premier Sarawak ialah Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo dan Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan.
