SIBU: Program Sarawakku Sayang (SKS) semakin mendapat tempat di hati rakyat apabila jumlah pengunjung terus meningkat di setiap lokasi penganjurannya.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, sambutan yang diterima selepas lima siri penganjuran SKS setakat ini sangat menggalakkan.
Katanya, konsep SKS bukan sekadar menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan di satu lokasi, malah menjadi platform untuk memahami keperluan sebenar rakyat serta menyediakan perkhidmatan bersesuaian.
“Melalui program ini, kita dapat mengetahui apa yang rakyat perlukan dan bagaimana kerajaan boleh membantu mereka, sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan, kebajikan sosial mahupun perkhidmatan lain.
“Pelbagai kaunter daripada agensi Kerajaan Sarawak dan Persekutuan turut disediakan. Malah, saya sendiri memperoleh banyak maklumat baharu mengenai perkhidmatan yang ditawarkan apabila melawat setiap kaunter,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Prapelancaran Program SKS Peringkat Bahagian Sibu, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan lebih 30,000 pengunjung akan menghadiri SKS Bahagian Sibu sepanjang tiga hari penganjurannya.
Katanya, Sibu berpotensi mencatat jumlah kehadiran lebih tinggi berbanding lokasi penganjuran terdahulu berikutan kedudukannya yang strategik dan mudah diakses dari pelbagai kawasan.
“Saya yakin Sibu mampu mencatat kehadiran yang lebih ramai, sekali gus membuktikan objektif SKS untuk mendekatkan kerajaan dengan rakyat terus mendapat sambutan,” katanya.
