Masyarakat Sebuyau hargai keputusan Premier teruskan projek Jambatan Batang Lupar 1

SEBUYAU: Kerajaan Sarawak membiayai pembinaan Jambatan Batang Lupar 1 menggunakan peruntukan negeri berjumlah RM848 juta selepas projek itu dibatalkan Kerajaan Persekutuan ketika di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pembinaan jambatan Batang Lupar mempunyai impak tinggi dari sosioekonomi dan jaringan jalan raya terhadap penduduk tempatan, khususnya di daerah Sebuyau dan kawasan sekitar.

“Terima kasih Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan YAB Premier (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) kerana meneruskan pembinan jambatan ini walaupun dibatalkan Kerajaan PH ketika itu. Langkah dan keputusan berani dan strategik YAB Premier amat dihargai,” katanya

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan Majlis Perasmian Jambatan Batang Lupar 1 yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini.

Julaihi memberitahu, seperti projek jambatan lain di sepanjang laluan Jalan Pesisir, pembinaan Jambatan Batang Lupar bermula ketika beliau berkhidmat di Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak sebagai Menteri Muda Jalan Pesisir dari pertengahan 2017 hingga awal Disember 2021.

“Projek ini merupakan sebahagian daripada agenda besar Kerajaan GPS pimpinan Premier Sarawak untuk merancakkan pembangunan kawasan luar bandar, khususnya di kawasan pesisir,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Timbalan Premier yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas, kedua-dua timbalan menteri kementerian itu, barisan kepimpinan kementerian, Jabatan Kerja Raya (JKR), perunding serta kontraktor yang terlibat kerana memastikan pembinaan jambatan berkenaan berjaya disiapkan.

Katanya, kejayaan menyiapkan Jambatan Batang Lupar 1 membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperkukuhkan infrastruktur pengangkutan dan merancakkan pembangunan di kawasan pesisir Sarawak.