Tunggu kelulusan Jabatan Pendidikan, Sekolah Menengah YSISS bakal beroperasi September ini

SIBU: Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) Sibu bakal memulakan operasinya pada September ini.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, bangunan sekolah ini (YSISS) kini telah siap sepenuhnya dan semua permit yang diperlukan, termasuk daripada pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Bomba, sudah diperoleh.

“Kita hanya menunggu kelulusan terakhir daripada Jabatan Pendidikan negeri untuk membolehkan sekolah ini beroperasi.

“Namun, kita yakin ia tidak menjadi masalah memandangkan hubungan dengan pihak berkenaan amat baik. Sekiranya tiada masalah, pelajar akan mula berpindah ke kampus baharu ini pada September ini.

“Semua pelajar, guru serta pengetua telah ditempatkan dan bersedia untuk memulakan sesi persekolahan,” katanya kepada media, hari ini.

Menurutnya, sekolah tersebut menawarkan pembelajaran berasaskan kurikulum antarabangsa dengan peperiksaan utama ialah Sijil Am Antarabangsa Pendidikan Menengah (IGCSE).

“Majoriti mata pelajaran diajar dalam Bahasa Inggeris, manakala Bahasa Melayu dan Sejarah turut ditawarkan sebagai syarat kelayakan untuk mereka yang mahu menduduki SPM, STPM atau berkhidmat dalam perkhidmatan awam pada masa hadapan,” kata beliau.

Katanya, setiap kelas hanya menempatkan sekitar 25 pelajar bagi memberi ruang lebih kondusif untuk pembelajaran.

“Selain itu, kemudahan termasuk makmal sains moden turut disediakan bagi melengkapkan proses pengajaran dan pembelajaran,” jelasnya.