Sarawak perlukan autonomi pendidikan, kesihatan

KUCHING: Sarawak masih memerlukan autonomi dalam sektor pendidikan dan kesihatan.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembangunan infrastruktur kemudahan pendidikan dan perkhidmatan kesihatan memerlukan sokongan padu daripada Kerajaan Pusat agar Sarawak dapat mencapai kemajuan yang telah dijanjikan.

“Atas sebab itu, Sarawak masih memerlukan autonomi dalam sektor pendidikan dan kesihatan iaitu dalam sektor pembangunan,”katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.

Tun Wan Junaidi berkata, kerajaan negeri mempunyai pengetahuan mendalam tentang keperluan sebenar rakyat, terutamanya anak-anak di luar bandar serta pengalaman mengurus cabaran tempatan dengan lebih berkesan.

Menurutnya, walaupun kaya dengan sumber asli, Sarawak masih ketinggalan dalam banyak aspek pembangunan, khususnya di pedalaman dengan faktor keluasan dan cabaran geografi negeri ini menuntut strategi khas.

“Justeru, jika dibantu secara bersepadu oleh Kerajaan Persekutuan dan negeri, tanpa prejudis dan tanpa mengabaikan janji-janji tersurat dan tersirat terdahulu, Sarawak sepatutnya menikmati pembangunan setara dengan wilayah lain di Malaysia,” tambahnya

Di samping itu, beliau juga bersyukur kerana Sarawak kekal stabil dari segi politik dan negara ini juga berada dalam keadaan aman.

“Saya bersyukur kerana bermula kurang daripada sedekad lalu, kita telah dikurniakan seorang pemimpin negeri yang berpandangan jauh, berwawasan, serta teliti dalam menilai kembali asas pembentukan Malaysia 1963,” tambahnya.

Katanya, kepimpinan ini telah mengorak langkah untuk memperoleh secara sah melalui undang-undang hasil negeri bagi membangunkan Sarawak, sebuah negeri yang luasnya hampir menyamai Semenanjung Malaysia.