Abang Johari diberi taklimat operasi E-Penambang

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama keluarga berkesempatan menaiki E-Penambang, perahu tambang elektrik pertama di Sungai Sarawak.

Inisiatif E-Penambang memperkukuhkan pengangkutan ikonik Bandaraya Kuching dengan ciri lebih selamat, cekap, mesra alam dan rendah karbon, sambil mengekalkan reka bentuk tradisional perahu tambang.

Premier turut menerima taklimat ringkas daripada Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Sarawak Energy Berhad (SEB) berhubung operasi E-Penambang yang kini melibatkan sembilan unit perahu tambang elektrik dengan sokongan sebuah stesen pengecasan solar di Jeti Pontoon Kampung Sungai Bintangor.

Usaha ini juga secara tidak langsung menyumbang ke arah pencapaian inisiatif Bandar Pintar di bawah komponen Smart City Mobility dalam strategi pembangunan negeri.

Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan Petros), Dato Ibrahim Baki, Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman, Pengarah DBKU Ramzi Abdillah, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Infrastruktur DBKU, Mohamad Faisal Adenan, serta pegawai-pegawai Sarawak Energy Berhad. – DBKU