SARIKEI: Sarawak merupakan contoh terbaik perpaduan rakyat berbilang kaum di Malaysia apabila kepelbagaian budaya dan etnik tidak menjadi penghalang, sebaliknya sumber kekuatan serta identiti bersama negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, suasana masyarakat yang rukun dan saling menghormati membolehkan Sarawak terus berkembang pesat dalam keadaan penuh keharmonian.
“Kita percaya kekuatan sebenar terletak pada kepelbagaian. Justeru, Kerajaan Sarawak sentiasa menekankan prinsip inklusiviti dalam setiap dasar dan pelaksanaan program supaya tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan,” katanya berucap pada sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2025 di Sarikei, hari ini.
Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, timbalan-timbalan premier serta tetamu kenamaan lain.
Abang Johari berkata, usaha membawa Sarawak mencapai status wilayah maju menjelang 2030 dilaksanakan melalui Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) yang berteraskan Kemakmuran Ekonomi, Keterangkuman Sosial dan Kelestarian Alam Sekitar.
Menurutnya, Sarawak kini berada di penghujung fasa pertama PCDS 2030 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, dengan banyak kejayaan telah dicapai, khususnya pembangunan infrastruktur asas.
Antaranya ialah pembangunan rangkaian jalan pesisir termasuk pelancaran Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang pada Mei lalu.
Ia menghubungkan kawasan strategik di Wilayah Tengah serta membuka potensi pembangunan baharu di Sarikei, Bintangor dan Tanjung Manis, jelasnya.
Beliau berkata, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga giat melaksanakan penyambungan bekalan elektrik dan air bersih ke pedalaman.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Sarawak turut melakar sejarah penting apabila mengambil alih Lembaga Pelabuhan Bintulu sebagai langkah strategik memperkukuh keupayaan maritim negeri serta membuka ruang lebih luas dalam perdagangan antarabangsa.
“Kejayaan menubuhkan AirBorneo, syarikat penerbangan milik Sarawak, akan memperkasakan sektor penerbangan dan memperluas rangkaian sambungan udara serantau. AirBorneo dijangka beroperasi pada Januari 2026, sekali gus menyediakan kemudahan mobiliti lebih inklusif dan mudah diakses di rantau ini.
Pada masa sama, Sarawak juga berjaya memperoleh pegangan majoriti dalam Affin Bank, katanya.
