Hari Kebangsaan simbol penyatuan rakyat Sarawak

KUCHING: Sambutan Hari Kebangsaan mempunyai signifikan bagi rakyat Sarawak sebagai simbol penyatuan masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama dalam semangat Malaysia yang sebenar.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, tiga tarikh penting iaitu 22 Julai (Hari Sarawak), 31 Ogos (Hari Kebangsaan) dan 16 September (Hari Malaysia) perlu terus dihayati kerana ia mencorakkan jati diri rakyat, khususnya generasi muda.

“Ketiga-tiga hari ini bukan sahaja memperkukuh kesedaran sejarah dan jati diri anak Sarawak, tetapi juga menjadi asas kepada perpaduan dan keharmonian yang kita nikmati hari ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Sarawak di sini hari ini.

Tema Hari Kebangsaan tahun ini, “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni”,.

Fatimah yang juga Menteri Bertanggungjawab Sambutan Hari Kebangsaan 2025 Peringkat Sarawak menambah, Sarawak negeri yang unik kerana kepelbagaian etnik, budaya dan kepercayaan, namun rakyatnya membuktikan bahawa kepelbagaian bukan penghalang kepada perpaduan, sebaliknya menjadi sumber kekuatan sebenar.

Katanya, rakyat Sarawak perlu meneruskan legasi kemerdekaan dengan membangunkan negeri yang berdaya saing, maju dan bersatu padu serta memperkukuh jati diri sebagai rakyat negeri ini yang bangga dengan sejarah dan tinggi semangat patriotisme.

“Marilah kita jadikan sambutan Hari Kebangsaan ini sebagai titik tolak untuk memperbaharui semangat kita membina Sarawak dan Malaysia yang lebih gemilang.

“Kita raikan bukan sekadar dengan perarakan atau persembahan, tetapi dengan komitmen dan kesungguhan untuk menyumbang kepada pembangunan wilayah dan negara, dalam apa jua kapasiti.”

Sambutan tersebut disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Ia turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, barisan Timbalan Premier, Speaker DUN, pemimpin kerajaan negeri serta dif-dif kenamaan lain.

Sepanjang Bulan Kebangsaan 2025, pelbagai pengisian telah diatur oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sarawak bagi menyemarakkan semangat kenegaraan.

Antaranya, Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang, Karnival Kita MADANI, Pameran Kenegaraan, Pertandingan Pengisahan Kenegaraan@Kelab Malaysiaku 2025 Peringkat Sarawak, Kembara Merdeka Jalur Gemilang, edaran poster HKHM 2025 serta program Jiwa@Komuniti MADANI HKHM 2025.

Sarikei telah dipilih sebagai lokasi sambutan peringkat negeri kali ini yang dimeriahkan dengan Konsert Ambang Merdeka, Unity Walk serta pelbagai persembahan dan acara menarik.