KOTA PADAWAN: Masyarakat pelbagai kaum terutama generasi muda perlu menghayati nikmat kemerdekaan dan kemajuan di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang berkata, nikmat kemerdekaan dan kemajuan bukan datang bergolek, sebaliknya hasil usaha pemimpin negara
terdahulu dan pemimpin-pemimpin sekarang.
Kata Lo, setelah negeri-negeri di Tanah Melayu mencapai kemerdekaan 1957, Sarawak dan Sabah bersama negeri-negeri di Semenanjung membentuk Malaysia.
“Pada hari ini kita meraikan Hari Kebangsaan bagi memperingati kemerdekaan Tanah Melayu pada setiap 31 Ogos, namun kita di Sarawak juga tidak terlupa bahawa kita perlu memperingati Hari Sarawak pada setiap 22 Julai dan tarikh pembentukan Malaysia pada 16 September,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Kemerdekaan peringkat Kampung Paya Mebi di sini hari ini.
Majlis dianjurkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselmatan (JKKK) Kampung Paya Mebi dengan kerjasama Majlis Perbandara Padawan, Perpustakaan Desa dan Tadika Kampung Paya Mebi.
Mengenai pembangunan yang dirancang di Kampung Paya Mebi, Lo memberitahu beliau berusaha membantu penduduk kampung itu membina semula bangunan perpustakaan desa.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi MPP, Kr Mahmud Dato Sri Ibrahim, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Parti PBB Cawangan Batu Kitang, Abang Ismawi Abang Ali dan Kr Shamsudin Unai yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan Kampung Paya Mebi.
