KABONG: Sambutan Ambang Hari Kebangsaan Malaysia Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) N.40 Kabong berlangsung meriah di Pusat Penjaja Kabong malam tadi dengan pelbagai pengisian program yang mendapat sambutan hangat daripada penduduk.
Acara bermula jam 8.30 malam tadi menarik kehadiran ramai pengunjung menyaksikan konvoi motosikal melibatkan 100 motosikal, pertandingan motosikal berhias, pertandingan pulut merdeka, fesyen orang lamak serta pertandingan ngesep pasangan.
Kemuncak sambutan turut diserikan dengan persembahan istimewa oleh penyanyi jemputan, Hijrah Yahya, Finalis Bintang Klasik 2019 dan Alumni Bintang RTM 2016, yang menghiburkan hadirin sehingga detik 12 tengah malam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kabong atas kejayaan menganjurkan program ini dengan penglibatan seluruh lapisan masyarakat.
Beliau menegaskan bahawa erti kemerdekaan hari ini bukan hanya sekadar memperingati detik bersejarah 31 Ogos 1957, tetapi juga menuntut generasi masa kini mengisi kemerdekaan dengan semangat perpaduan, pembangunan dan pengukuhan jati diri bangsa.
