LUNDU: Kerajaan Sarawak berpuas hati dengan perkembangan projek pembinaan Jambatan Batang Rambungan yang kini mencatat kemajuan sebanyak 13.4 peratus.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kemajuan itu menunjukkan sebanyak enam peratus lebih cepat daripada jadual pembinaan projek bernilai RM82 juta itu.
“Kita amat berpuas hati dengan perkembangan kerja-kerja projek tersebut,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek berkenaan, di sini, hari ini.
Uggah berkata, agensi pelaksana Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama kontraktor juga telah menetapkan sasaran baharu agar jambatan ini dapat disiapkan lebih awal daripada jadual asal.
Projek itu dijangka siap Julai 2026, hampir setahun lebih awal daripada jadual asal iaitu Mei 2027.
“Kontraktor yang dilantik juga mempunyai pengalaman luas dalam pembinaan jambatan, sekali gus meningkatkan keyakinan kita terhadap keupayaan mereka,” katanya.
Dalam masa sama, Uggah menegaskan Kerajaan Sarawak memberi perhatian serius terhadap aspek keselamatan dan kualiti jambatan tersebut.
Tegasnya, pemantauan projek dilaksanakan secara berterusan dan bukannya sekali-sekala bagi memastikan sebarang isu dapat dikenal pasti serta diselesaikan segera.
