Premier Sarawak serikan Temasya Warisan Pahang 2025

PEKAN: Hubungan dua hala Sarawak dan Pahang diperkukuhkan menerusi Temasya Warisan Pahang 2025 apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut menyerikannya di Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pulau Keladi, Pekan hari ini.

Ketibaan beliau bersama rombongan disambut pada jam 10 pagi oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.

Suasana temasya menjadi lebih istimewa apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat bersama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam kira-kira jam 12 tengah hari.

Kehadiran Premier Sarawak melambangkan sokongan padu terhadap usaha mengangkat seni tenunan, kraf tangan dan budaya tradisional sebagai jambatan pengukuh hubungan antara negeri, sekali gus memperkukuh jaringan kerjasama dalam industri kreatif negara.

Menerusi penyertaan Sarawak, Temasya Warisan Pahang 2025 bukan sahaja menampilkan kepelbagaian warisan negeri di Malaysia, malah meneguhkan kedudukan Sarawak sebagai rakan strategik dalam memelihara dan memperkayakan khazanah budaya negara.

Temasya edisi 2025 ini turut disertai delegasi antarabangsa dari Turkiye, Laos, Singapura dan Indonesia, menjadikan acara ini medan penting dalam memperkenalkan warisan Nusantara kepada dunia.

Kehadiran peserta antarabangsa itu membuktikan bahawa kraf dan budaya tradisional mampu menjadi bahasa sejagat yang menyatukan masyarakat merentasi sempadan negara.

Sepanjang tujuh hari penganjurannya, pengunjung berpeluang menyaksikan pameran kraf, demonstrasi seni tradisional, persembahan kebudayaan, bengkel interaktif serta pertandingan Piala Tunku Azizah-Pertandingan Tenun Pahang Diraja yang menjadi tumpuan utama.

Demonstrasi makanan warisan, tarian tradisional dan hasil kraf tempatan turut memikat perhatian, sekali gus membuka ruang kepada generasi muda untuk mengenali lebih dekat akar budaya bangsa.

Temasya Warisan Pahang 2025 berlangsung dari 1 hingga 7 September depan bukan sahaja sebagai pesta kebudayaan tetapi juga simbol penyatuan rakyat melalui warisan, seni, dan kreativiti yang diwarisi turun-temurun.

Sepanjang tujuh hari penganjuran, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik antaranya bengkel kraf batik blok, lukisan, tanah liat, linut, eco-print, ikat dan celup, ukiran kayu dan banyak lagi.