DUBLIN (Ireland): Rombongan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak yang diketuai Rektornya, Prof. Dr. Firdaus Abdullah berjaya mengadakan pertukaran akademik dan kebudayaan antarabangsa di Dublin, Ireland.
Langkah itu sebagai sebahagian daripada inisiatif Pertukaran Antara Budaya UiTM 2025 (UNITE25): Meletakkan Sarawak dalam program sedunia.
Dianggotai lima kakitangan akademik dan pentadbiran dan 11 pelajar, rombongan UiTM itu tiba di Dublin, 27 Ogos lalu.
Mereka disambut oleh Kaunselor dan Ketua Chancery, Intan Nadia Ramli dan Duta Malaysia ke Ireland, Wan Aznainizam Yusri Wan Abdul Rashid.
Lawatan yang mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu menandakan kejayaan UiTM Sarawak meningkatkan hubungan di peringkat global, memupuk persefahaman antara budaya dan memperkenalkan warisan Sarawak di peringkat global.
Semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Wan Aznainizam, mereka membincangkan usaha mengeratkan lagi kerjasama dalam bidang akademik, inisiatif penyelidikan dan pertukaran budaya dengan Trinity College Dublin (TCD).
Ia disusuli dengan sesi libat urus strategik dianjurkan oleh Trinity Centre for Asian Studies (TCAS).
