Projek naik taraf jeti legakan penduduk

BINTANGOR: Penduduk Kampung Abang Amin di sini, boleh menarik nafas lega apabila akses pengangkutan sungai bertambah selamat dan selesa selepas projek naik taraf jeti di bawah Projek Mesra Rakyat (PMR).

Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir Yusuf Abd Wahab berkata, projek bernilai RM70,000 itu bagi mengganti jeti lama sudah tidak selamat kerana kayunya reput dan struktur rosak.

“Dengan naik taraf ini, jeti baharu kini lebih kukuh, stabil dan selamat digunakan,” katanya pada majlis penyerahan di sini, baru-baru ini.

Beliau menekankan bahawa jeti baharu bukan sahaja memastikan keselamatan pengguna, tetapi juga membantu merancakkan aktiviti ekonomi tempatan

Jeti ini memudahkan penghantaran hasil pertanian dan tangkapan ikan ke pasaran tempatan. Dengan akses lebih baik, penduduk berpeluang meningkatkan pendapatan isi rumah mereka, katanya.

Selain itu, jeti baharu turut menjadi ruang untuk berjumpa jiran, berekreasi dan mengeratkan hubungan komuniti.

Bagi tahun 2025, RM1.91 juta diperuntukkan untuk 16 projek pembangunan di kawasan Parlimen Tanjong Manis.

Antara projeknya termasuk naik taraf sekolah, surau, masjid, rumah panjang, tadika KEMAS, dewan komuniti, gelanggang dan padang sukan, selain jeti serta kemudahan awam lain.