SIMUNJAN: Penduduk di Tabuan Iban, Kampung Sekendu dan Taman Hijrah bakal menikmati perlindungan lebih baik daripada risiko banjir apabila kerajaan melaksanakan projek pembinaan ban baharu bernilai RM2.5 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, berkata projek ini sangat penting bukan sahaja untuk kawal limpahan sungai, tetapi bagi memastikan aktiviti pertanian dan ekonomi lancar.
Apabila ban ini siap, lebih ramai penduduk akan dilindungi, dan ekonomi kampung terutamanya pertanian tidak akan terganggu,” katanya pada majlis penyerahan tapak projek, hari ini.
Menurut Awla, projek ini bukan sahaja membina struktur fizikal sepanjang 3,541 meter (m) dan dua pintu air, tetapi juga diharap menjadi benteng utama mengekang limpahan sungai yang sering mengancam keselamatan dan ekonomi setempat.
Keseluruhan projek dijangka siap pada 18 Jun 2026, katanya.
