Dua loji rawatan air dibangun di Sebuyau

SEBUYAU: Dua loji rawatan air menggunakan sistem akut sedang dibangun di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau.

Langkah itu bagi memenuhi keperluan bekalan air terawat di kawasan berkenaan yang semakin meningkat.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, loji berkenaan l terletak di Sungai Ular dan Sebangan.

“Kita telah meluluskan sebuah loji rawatan air menggunakan sistem akut di Sungai Ular yang mempunyai kapasiti lima juta liter air sehari.

Manakala, satu lagi ialah loji rawatan air yang menggunakan sistem sama di Sebangan yang juga mempunyai kapasiti lima juta liter air sehari.

“Daerah Sebuyau selepas ini akan mempunyai 20 juta liter air sehari,” katanya selepas menyempurnakan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Sebuyau, hari ini.

Menurutnya, loji rawatan air di Sungai Ular kini masih dalam proses tender, manakala loji rawatan air di Sebangan dalam proses penilaian Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).

Dalam perkembangan lain, Julaihi mendedahkan bahawa Kerajaan Sarawak turut meluluskan dana sebanyak RM150 juta untuk meningkatkan infrastruktur elektrik di bahagian Kota Samarahan yang melibatkan Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau, Sebangan, Simunjan dan terus ke Gedong.

Katanya, antara penyelesaian yang diambil ialah membangunkan substesen di bahagian Sebuyau yang mempunyai 33 kilovolt (KV).

“Ini bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik di bahagian Kota Samarahan khususnya di sebelah Asajaya yang meliputi bahagian Sadong Jaya, Sebuyau, Sebangan, Simunjan dan Gedong,” katanya.