Sambutan Maulidur Rasul bina semangat kebersamaan, perpaduan masyarakat

TANJUNG MANIS: Sebanyak 27 kontinjen menyertai perarakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M Peringkat Bahagian Mukah di Masjid Kampung Rajang, di sini, hari ini.

Majlis dianjurkan Jawatankuasa Perayaaan Islam Bahagian Mukah dan kontinjen perarakan dibahagikan kepada empat kategori utama iaitu Kategori A (Jabatan Kerajaan Negeri/Persekutuan dan Badan Berkanun), Kategori B (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, masjid dan surau).

Seterusnya Kategori C (Persatuan, Kelab, Pertubuhan serta NGO) dan Kategori D (Institut Pengajian Tinggi Awam, Institut Pengajian Tinggi Swasta, Pusat Kemahiran, Sekolah Menengah dan Sekolah Kebangsaan).

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh menyempurnakan majlis terbabit yang dihadiri seramai 350 orang.

“Sambutan ini bukan sahaja untuk memperingati kelahiran Rasulullah SAW, tetapi juga sebagai satu platform untuk menyemai kasih sayang, memupuk nilai perpaduan, dan membina semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat Islam,” katanya.

Beliau berkata, majlis itu juga wajar dijadikan pemangkin dalam memperkukuh perpaduan di Bahagian Mukah.

Selain perarakan, pelbagai pengisian telah diatur seperti majlis selawat beramai-ramai dan juga ceramah agama.

Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Mukah, Shafrie Saili, Pegawai Daerah Tanjung Manis, Ismail Kasah, Pegawai Agama Islam Bahagian Mukah, Muhammad Adib Saini dan Temenggong Bahagian Mukah, Hendi Suhai.