SEBAUH: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) menyalurkan lebih RM400 juta bagi projek pembinaan dan baik pulih rumah ibadat bukan Islam di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, penyaluran ini dilakukan sejak UNIFOR ditubuh pada 2017.
“Setakat ini, sebanyak 1,097 projek telah siap, 735 lagi sedang dalam pembinaan, manakala 66 projek termasuk Gereja St. George Sebauh akan bermula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis pecah tanah tapak projek Gereja Baharu St. George dengan peruntukan RM10 juta menerusi UNIFOR di sini, semalam.
Uggah berkata, untuk tahun 2025, UNIFOR menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM110 juta melalui Kumpulan Wang Bantuan Pembangunan Khas (SDAF).
Katanya, sebanyak RM90 juta peruntukan itu dikhususkan bagi rumah ibadat dan RM20 juta bagi sekolah mubaligh.
Sementara itu, bagi projek Gereja Baharu St. George, Uggah berkata projek di atas tapak seluas lima ekar itu bukan sahaja menggantikan gereja lama yang semakin uzur, malah menjadi simbol keharmonian apabila terletak bersebelahan tapak pembinaan Masjid Daerah Sebauh.
Beliau berkata, projek dijangka siap dalam tempoh 12 bulan dan merakamkan penghargaan kepada Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Kemena, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom atas usaha mendapatkan tanah tapak projek.
